Thursday, February 02, 2012

Pohon Zaitun Mengecewakan

Kitab Habakuk adalah salah satu kitab yang sering saya baca. Antara sebabnya adalah nabi Habakuk mengakhiri kitab ini dengan nanyian iman yang menghiburkan dan mengakui kedaulatan Allah yang mengatur segala waktu. Meskipun segala hasil tanaman dan ternak mengecewakan - segala usaha mengecewakan, namun keselamatan dari Tuhan adalah pasti dan tepat pada masanya (3:17-19). Haliluya!

Habakuk mengeluh kerana setelah sekian lama ia menahan hati dan tekun berdoa kepada bangsanya agar kejahatan, penindasan dan kelaliman berakhir namun, usaha dan pengorbanannya tidak menampakkan hasil. Bangsa ini masih kekal dengan sifat-sifat lalim mereka.

"Berapa lama lagi, TUHAN, aku berteriak, tetapi tidak Kau dengar, aku berseru kepada Mu: Penindasan!" tetapi tidak Kau tolong?" 1:2.

Antara lain yang begitu mengecewakan bagi seorang hamba Tuhan adalah hasil akhir pengorbanan pelayanannya tidak menampakkan hasil seperti yang diharap-harapkan. Banyak masa telah di luangkan, tenaga dan keringat telah di kerah, skill dan pengalaman telah digunapakai sepenuhnya, dan sudah tentu doa dan khidmat nasihat diamalkan tetapi, hasil akhir dari satu-satu pelayanan mengecewakan!

Tambahan pula, keadaan kelihatannya bukan menjadi baik sebaliknya bertambah parah.

Lalu muncullah soalan: "Dimanakan silapnya? Dimanakah yang kurang?"

Tidak ada yang silap. Jika segala usaha yang terdaya telah di lakukan dengan baik, sungguh anda telah lakukannya dengan baik juga.

Ketika Paulus menangani perselisahan gereja Korintus mengenai siapa pengikut yang yang lebih rohani dan benar, antara pengikut Paulus maupun Apolos, Roh Kudus melalui Paulus memberikan jawapan kunci yang membuka pintu kepada penyelesaian perselisihan dan kekecewaan dalam gereja ketika itu.

"Aku menanam, Apolos menyiram, tetapi Allah yang memberi pertumbuhan. Kerana itu yang penting bukanlah yang menanam atau yang menyiram, melainkan Allah yang memberi pertumbuhan." (1 Korintus 3:6-7).

Saya telah belajar tahun-tahun kebelakangan ini bahawa merasa kecewa kerana tidak melihat hasil pelayanan adalah salah. Allah tidak menilai seluruh hidup kita berdasarkan pelayanan selama 4 atau 5 tahun dalam sesebuah gereja. Bahkan keberhasilan tidak seharusnya di ukur pada waktu yang singkat ini. Asalkan anda telah berusaha sedaya upaya untuk melayani Tuhan dengan sikap yang benar, kekecewaan bukan bagian mu. Sukacita, pengalaman dan penghargaan adalah bagian mu.

Terus bertekun di dalam doa. Atau lebih tepat lagi luangkan lebih banyak waktu untuk berdoa. Doa melahirkan kuasa melebihi segala skills dan kemampuan manusia.

Anda telah menanam atau mungkinkah anda menyiram namun, akhirnya Allah yang memberi pertumbuhan.

Sungguh pelayanan adalah milik Tuhan. Saya belajar bahawa Dia selalu bekerja dan selalunya dengan cara yang tidak kita pernah jangka.

"..aku akan bersorak-sori di dalam TUHAN, beria-ia di dalam Allah yang menyelamatkan aku. ALLAH Tuhanku itu kekuatanku: Ia membuat kakiku seperti kaki rusa, Ia membiarkan aku berjejak di bukit-bukitku." (Habakuk 3: 18-19).

Thursday, January 19, 2012

Kecewa Dan Tidak Puas Hati!

Saya membaca artikel Malaysiakini mengenai ulasan bekas duta US di Malaysia John R Malott yang meramal pilihanraya ke-13 akan menjadi pilihanraya yang terkotor (dirtiest) dalam sejarah Malaysia. Saya juga membaca hutang negara mencecah RM437.2 bilion atau 52.7% daripada KDNK. Ini akan bakal mencecah RM 1 trilion pada tahun 2020. Saya juga percaya kita tahu cabaran besar yang kita hadapi sebagai penganut kristian di negara ini. Banyak isu-isu lain. You name it. Banyak sangat.

Kecewa dan tidak puas hati? Ya.

Banyak perkara yang terjadi dalam hidup ini yang tidak kita faham. Terlalu misteri. Banyak kali dalam hidup kita seperti mempersoalkan pertolongan Tuhan kerana tidak mendapat jawapan seperti yang kita minta. Selain daripada isu-isu peribadi, isu-isu sejagat seperti kestabilan ekonomi, keadilan politik, kebebasan beragama dan lain-lain memang berat untuk diterima seadanya.

Akhirnya orang yang percaya Tuhan juga dalam delima. Pengharapan kain lemah. Hati perlu diberi penghiburan.

Kita perlu yakin bahawa orang kristian di negara ini bukan secara kebetulan. Kesejahteraan negara ini adalah tanggungjawab kita.

"Usahakanlah kesejahteraan kota ke mana kamu Aku buang, dan berdoalah untuk kota itu kepada TUHAN, sebab kesejahteraannya adalah kesejahteraanmu." Yeremia 29:7.


Kitab Pengkhutbah memberi jawapan yang ampuh bahawa Allah berdaulat meskipun dimasa susah (3:1-11). Allah berdaulat maksudnya Ia berkuasa kelmarin, sekarang dan juga hari esok.

Kalau kita berhenti membaca kisah sedih mengenai Yusuf, bagaimana ia dijual oleh saudara-saudaranya kepada seorang kalifah orang Ismael yang datang dari Gilead ke Mesir, maka memanglah kita tidak akan dapat melihat kedaulatan Allah atas kesusahan Yusuf ketika itu (Kejadian 37).

Namun ketika kita teruskan pembacaan kepada fasal-fasal berikutnya, akhirnya kita tahu bagaimana Yusuf diangkat sebagai penguasa di Mesir dan akhirnya menyelamatkan saudara-saudaranya daripada 7 tahun kelaparan dahsyat pada masa itu! Yusuf sendiri juga turut belajar bahawa apa yang telah terjadi kepadanya - awalnya dia tidak faham - adalah cebisan kecil daripada rencana Allah yang berdaulat!

Dia mengakui didepan saudara-saudaranya: "Janganlah bersusah hati dan janganlah menyesali diri, kerana kamu menjual aku ke sini, sebab untuk memelihara kehidupanlah Allah menyuruh aku mendahului kamu." Kejadian 45:5.

Sebagai orang yang percaya kepada Tuhan, Dia tetap memberikan kesenangan untuk kita nikmati. Pengkhutbah menyatakan bahawa setiap orang dapat makan, minum dan menikmati kesenangan dari jerih payah adalah PEMBERIAN Allah! (3:13).

"Siapakah yang dapat makan dan menikmati hidup tanpa Allah?" (2:25 - TBM).

Saya begitu percaya kebebasan dan kesenangan yang masih kita miliki masa kini adalah pemberian Allah. Dan saya percaya ianya harus dinikmati sepenuhnya. Ketika kita benar-benar menikmati pemberian Allah, dari situ akan lahir ucapan syukur yang ikhlas dan benar. Mungkinkah kita komplain banyak sehingga kita lupa apa yang kita ada dan jauh sekali menikmatinya.

Segala sesuatu yang telah, sedang dan akan kita alami, meskipun banyak yang tidak kita fahami dan dapat terima, Saya percaya Allah tetap berdaulat.

Pengkhutbah membuat kesimpulan yang tepat bahawa "Allah berbuat demikian supaya manusia takut akan Allah." ayat 14.

Kuatkan hatimu. Teguhkan imanmu. Hiburkan hatimu. Tetapkan pengharapanmu. Allah berdaulat!

Wednesday, January 18, 2012

Pastor: Pengalaman atau Skill.

Tidak lama dulu saya membaca beberapa artikel yang di siarkan dalam akhbar mengenai ketidakpuasaan hati golongan muda/i kepada iklan kerja kosong yang menjadikan pengalaman kerja salah satu syarat keutamaan pada jawatan tersebut.

Memang ada syarikat-syarikat kerajaan khususnya swasta memilih untuk mengambil pekerja yang berpengalaman meskipun dari segi kelayakan akademik agak kurang sedikit. Bagi yang ada pengalaman dan kelayakan akademik sudah tentu merupakan kelebihan.

Tentulah kita juga tahu bahawa ada jenis-jenis pekerjaan yang tidak memerlukan pengalaman. Asal ada kelayakan akademik dan fizikal, pengalaman kelak akan datang juga.

Sebenarnya hal ini turut berlaku dalam gereja - denominasi - juga.

Umumnya gereja-gereja dilayani oleh para Pastor-pastor dari 3 generasi yakni Baby Boomers, Gen. X dan Gen. Y. Ramai pastor-pastor muda dari kumpulan Gen X dalam lingkungan umur lewat 30'an ke pertengahan 40'an pada masa sekarang. Ramai juga dari kumpulan Gen. Y yaitu dalam 20'an.

Ada gereja yang inginkan pastor yang berpengalaman dalam pelayanan dengan harapan dapat melayani dengan lebih matang dan berkesan. Ada juga gereja yang inginkan pastor yang separa umur, meskipun kurang berpengalaman tetapi sekurang-kurangnya ada skil seperti pengetahuan asas ICT, boleh bertutur dalam bahasa English, dll. Tidak kurang gereja yang belum siap menerima pastor yang masih terlalu muda.

Secara peribadi saya berpendapat pengalaman dan skill saling melengkapi. Kedua-duanya begitu penting dan perlu dikembangkan dengan apa juga kos.

Pastor sudah tentu perlu bekerja keras melengkapkan diri pada segala aspek. Aspek kerohanian adalah mutlak tetapi pada masa yang sama kemahiran-kemahiran lain perlulah ditingkatkan. Keseimbangan dalam pelayanan adalah seruan kepada pelayanan yang kekal relevan. Saya juga percaya belajar kepada hal-hal baru juga penting asalkan relevan kepada panggilan seorang Pastor.

Gereja lokal juga haruslah memainkan peranannya. Bagaimana gereja dapat membantu pastor-pastor muda lebih kompeten agar terus releven kepada gereja sejajar dengan perkembangan semasa. Selain itu sokongan doa yang padu dan khidmat nasihat atau bimbingan perlulah ditingkatkan. Berapa banyak gereja-gereja yang serius menghantar pastor mereka mengikuti kursus-kursus yang dapat membantu mempersiapkan dan melengkapi pastor mereka?

Waktu saya di Brisbane, Australia pada tahun 2010, saya terdorong dengan kesungguhan gereja yang saya kunjungi yang menyediakan bajet khas bagi tujuan pendidikan pastor gereja ke konferensi-konferensi, seminar-seminar dan latihan dalam dan luar negara!

Saya percaya inilah masanya gereja berfikir "Bagaimana kami boleh membantu pastor ini" daripada "Siapa pastor yang tepat untuk gereja ini".

Tuesday, November 15, 2011

Triple A

Saya membaca artikel yang ditulis oleh presiden NECF Malaysia Rev. Eu Hong Seng yang bertajuk "Masa itu...belum lagi (Masalah dan Keanehan Pendakwahan). Secara peribadi saya melihat artikel ini sebagai mesej yang kuat ketika gereja-gereja di Malaysia berhadapan dengan cabaran yang kuat!

Isu-isu berkaitan kebebasan beragama begitu "panas" diperkatakan sejak sepuluh tahun kebelakangan ini. Rev. Eu melihat ini seperti umat kristian telah dikurniakan dengan kesalahan "Triple A" - isu Allah, isu Alkitab dan terbaru isu Apostasi (Murtad) oleh pihak-pihak tertentu.

Ramai yang melihat cara menangani isu ini oleh pihak berwajib sebagai berat sebalah! Diskriminasi begitu ketara! Sungguh ianya begitu rumit untuk diperincikan dan terlalu sensitif untuk dibincang secara terbuka.

Pada zaman pemerintahan Raja Ahasyweros - dalam kitab Ester - ada seorang pembesarnya yang bongkak, dan berniat jahat terhadap bangsa Yahudi. Haman berusah mencari muslihat untuk memunahkan bangsa ini. Dia terang-terangan mengancam Mordekhai dan secara tidak langsung kepada ratu Ester. Haman begitu licik dan menghasut raja.

Ketika ratu Ester menyedari ancaman ini, maka dia memerintahkan supaya seluruh bangsa Yahudi mengadakan doa dan puasa selama 3 hari 3 malam. Hasilnya Haman telah dijatuhkan hukuman mati oleh raja. Sebaliknya bangsa ini kekal hidup dan makmur. Allah telah membela umat-Nya.

Sebagai seorang pastor, saya sentiasa mendorong jemaah untuk tetap bersikap tenang dan bertekun terus di dalam doa. Yesus telah mengajar gereja-Nya dengan jelas bahawa ada saja niat-niat jahat si iblis yang berselindung dan memperkuda-kudakan kumpulan-kumpulan tertentu. Umat yang Percaya kepada Kristus akan dibenci dan dianiaya oleh kerana iman mereka kepada Dia.

Sebagai umat kristian yang mengakui kedaulatan Allah, firman-Nya adalah panduan yang tepat untuk bertindak. "Janganlah kamu kalah terhadap kejahatan, tetapi kalahkanlah kejahatan dengan kebaikan!" Roma 12:21.

Disebalik penderitaan akan terpancar kemuliaan Allah.

Thursday, June 16, 2011

Tuhan, Bangkitkan Generasi Ini.


Tempat ini agak terpencil, jauh dari kesibukan bandaraya Kota Kinabalu. Di Karambunai Lagoon inilah saya membawa PMM SIB Kota Kinabalu (BM), Likas untuk mengadakan retret dua hari satu malam. Seramai 29 peserta bagi saya sudah cukup untuk membawa perubahan dan suasana penyembahan dan pelayanan PMM di gereja ini.

Alkitab dengan jelas mengajar bahawa Allah tidak melihat bilangan yang ramai. Ia melihat hati yang datang kepada-Nya dan menyembah-Nya dalam roh dan kebenaran.

Jauh sebelum retret ini saya sudah membawa beban yang terbuku dalam hati kepada salib Kristus. Mengakui kelemahan dan meletakkan beban ini di bawah kaki-Nya. Beberapa kali saya datang kepada Dia dalam doa dengan merenungkan kebenaran Firman-Nya dalam Matius 11:28-29. "Marilah kepada-Ku, semua yang letih lesu dan berbeban berat, Aku akan memberi kelegaan kepadamu. Pikullah kuk yang Ku pasang dan belajarlah pada-Ku, kerana Aku lemah lembut dan rendah hati dan jiwamu akan mendapat ketenangan."

Roh Kudus mencurahkan urapan-Nya bukan saja kepada saya tetapi kepada semua peserta. Saya mengatur kata, menyampaikan dengan tajam kebenaran firman Tuhan. Saya tidak terlalu kisah akan usia muda mereka. Saya tahu mereka akan faham ketika melihat kesungguhan saya menyampaikan mesej firman Tuhan. Kalau mereka rasa tercabar, maksudnya Roh Kudus sedang berbicara kepada mereka secara peribadi. Untuk itu saya memuji Tuhan.

Mesej saya singkat namun mencabar. Pengkhutbah 10:10: "Jika kapakmu tumpul dan tidak kamu asah, kamu terpaksa berkerja keras. Lebih baik kamu membuat rancangan terlebih dahulu." (TBM).

Saya percaya bahawa selain ibubapa dan pemimpin-pemimpin gereja, muda mudi turut memainkan peranan yang sangat penting dan bertanggung jawab kepada generasi masa kini dan masa akan datang. Mereka perlu pastikan "kapak" mereka tidak tumpul! Mereka perlu pastikan hubungan mereka dengan Tuhan terus akrab dan dengan demikian dapat mengenal rancana Tuhan dalam hidup mereka!

Firman Tuhan mengingatkan untuk membuat rancangan terlebih dahulu. Inilah masanya untuk mereka melihat dengan serius peranan mereka kepada generasi ini. Kealpaan sudah pastinya akan mengheret kepada tugas yang menuntut "berkerja keras."

Saya berdoa momentum daripada retret ini akan kekal dan berhasil membawa perubahan yang positif kepada peribadi mereka sendiri, maupun gereja ini.